Alat Kebolehcapaian

Liputan Media Terkini

Liputan Media Terkini

Tarikh
Tajuk Liputan
Dibaca
  • Information
    27 Jan 2026
    KASTAM SELANGOR GAGALKAN PENYELUDUPAN PELBAGAI KOMODITI BERNILAI LEBIH RM5.75 JUTA
    Information
    1987 hit(s)
    PELABUHAN KLANG, 27 JANUARI 2026 – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor berjaya menggagalkan dua (2) cubaan penyeludupan di Pelabuhan Klang melibatkan minuman keras, cerut dan beras dengan nilai rampasan serta duti dan cukai keseluruhan melebihi RM5.75 juta. Pengarah Kastam Negeri Selangor, YBrs. Tuan Mohamad Azhar bin Ahmad Paharazi, memaklumkan rampasan melibatkan 37,128 liter minuman keras jenis bir bernilai lebih RM1.39 juta serta 6,250 kilogram cerut dan 3,900 kilogram beras bernilai RM4.36 juta, hasil pemeriksaan kontena di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat dan Utara. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. Orang ramai digesa membantu membanteras penyeludupan dengan menyalurkan maklumat kepada mana-mana pejabat kastam berdekatan.        CEPAT · TANGKAS · INTEGRITI
  • Information
    26 Jan 2026
    “JOURNÉE INTERNATIONALE DE LA DOUANE 2026” - SAMBUTAN HARI KASTAM SEDUNIA DI BRUSSELS, BEL...
    Information
    1957 hit(s)
    BRUSSELS, 26 JANUARI 2026 – Pada 26 Januari setiap tahun, komuniti kastam global menyambut Hari Kastam Sedunia sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan dedikasi pegawai kastam dan peranan penting kastam dalam melindungi masyarakat, memacu pembangunan ekonomi serta memastikan keselamatan negara. Sambutan ini juga merupakan platform untuk mendidik masyarakat mengenai visi dan misi kastam serta menggalakkan kerjasama kolektif dalam menghadapi cabaran semasa. Seperti tahun-tahun sebelumnya, sambutan Hari Kastam Sedunia di bumi Belgium merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh komuniti kastam yang berpusat di Brussels yang merupakan pusat politik dan diplomasi Eropah dan pelbagai organisasi antarabangsa lain. Sambutan dimulakan seawal pagi dengan majlis penyampaian pingat penghargaan kepada warga kastam serta wakil-wakil syarikat swasta. Majlis dihadiri oleh tetamu kehormat Mr. Jan Jambon, Deputy Prime Minister and Minister of Finance and Pensions dan Mr. Kristian Vandewaeren, Administrator-General of the General Administration of Customs and Excise Belgium, selaku tuan rumah sambutan. Usai majlis, satu perarakan dari Militia Hall, Grand Place Brussels diiringi kumpulan pancaragam menuju ke patung Manneken-Pis yang disarungkan pakaian seragam Kastam Belgium. Satu majlis sambutan turut diadakan bertempat di World Customs Organization (WCO) pada sebelah petang. Bagi tahun 2026, WCO telah menetapkan tema “Kastam Melindungi Masyarakat Melalui Kewaspadaan dan Komitmen” di mana Secretary General of the World Customs Organization, Mr. Ian Saunders sekali lagi menegaskan peranan utama kastam sebagai benteng keselamatan dan keamanan negara. Memetik ucapan beliau “We need to demonstrate that strong and well-equipped Customs authorities are indispensable to national and international security, public health, environmental protection, trade facilitation and supply chain integrity”.     SELAMAT MENYAMBUT HARI KASTAM SEDUNIA KE-44Daripada Pejabat Atase Kastam Brussels, Belgium.        CEPAT · TANGKAS · INTEGRITI
  • Information
    26 Jan 2026
    YAB PERDANA MENTERI MERASMIKAN SAMBUTAN HARI KASTAM SEDUNIA KE-44 TAHUN 2026
    Information
    2030 hit(s)
    CYBERJAYA, 26 JANUARI 2026 - YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan telah hadir dan seterusnya merasmikan Sambutan Hari Kastam Sedunia ke-44 Tahun 2026 yang bertemakan, “Kastam Melindungi Masyarakat Melalui Kewaspadaan dan Komitmen”, bertempat di Cyber Event Hall, Cyberjaya. Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Datuk Wira Anis Rizana binti Mohd Zainudin, Ketua Pengarah Kastam Malaysia yang antara lain menzahirkan komitmen berterusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam memperkasa pungutan hasil negara, memperkukuh penguatkuasaan serta melindungi kepentingan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat. Bagi tahun 2025, JKDM telah berjaya mengutip hasil sebanyak RM76.18 bilion iaitu peningkatan sebanyak RM10.61 bilion atau 16.18% berbanding tahun 2024. Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kecekapan dan profesionalisme organisasi, malah membuktikan komitmen JKDM dalam memastikan hasil negara dipelihara serta dimanfaatkan semula untuk pembangunan negara, kebajikan rakyat dan penambahbaikan perkhidmatan awam. Perdana Menteri turut berkenan merasmikan pelancaran dua buah buku terbitan JKDM, iaitu ‘Driving Excellence, Servicing A Nation’ dan buku “Prestasi JKDM 2025.” Kedua-dua buku ini dihasilkan sepenuhnya oleh warga JKDM merangkumi perancangan kandungan, penulisan, penyelidikan data, dokumentasi visual serta reka bentuk penerbitan, sekali gus mencerminkan keupayaan dan kepakaran dalaman Jabatan dalam mendokumentasikan pencapaian organisasi secara sistematik, berfakta dan berimpak tinggi. Pada majlis yang sama, sebanyak 25 anugerah kecemerlangan telah disampaikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan prestasi cemerlang pelbagai pihak. Majlis sambutan ini mencerminkan pengiktirafan berterusan terhadap kecemerlangan warga Kastam dan rakan strategik, selaras dengan peranan JKDM sebagai benteng utama dalam melindungi kepentingan negara dan masyarakat.        CEPAT · TANGKAS · INTEGRITI
  • Information
    15 Jan 2026
    MAJLIS PENYAMPAIAN EMBLEM DAN SIJIL KEPADA SYARIKAT BERSTATUS AUTHORIZED ECONOMIC OPERATOR...
    Information
    2549 hit(s)
    PUTRAYAJA, 15 Januari 2026 - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada  telah menganjurkan Majlis Penyampaian Emblem dan Sijil kepada syarikat-syarikat yang telah berjaya memperoleh pengiktirafan Authorized Economic Operator (AEO) sepanjang tahun 2025. Majlis berkenaan telah berlangsung di Dewan Semarak Jati, Ibu Pejabat JKDM, Putrajaya. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Anis Rizana binti Mohd Zainudin, Ketua Pengarah Kastam, sebagai pengiktirafan JKDM ke atas syarikat-syarikat yang mempunyai rekod pematuhan yang tinggi terhadap perundangan Kastam dan peraturan berkaitan, serta mengamalkan prosedur kawalan dan pemantauan rantaian bekalan yang selamat dan cekap. Program AEO merupakan satu inisiatif di bawah Pertubuhan Kastam Sedunia (World Customs Organization, WCO) yang bertujuan untuk memudah cara perdagangan antarabangsa, memperkukuh keselamatan rantaian bekalan global, serta mengukuhkan kerjasama strategik antara pihak kastam dan sektor perniagaan. Syarikat yang dianugerahkan status AEO akan menikmati pelbagai kemudahan, antaranya pelepasan kastam yang lebih pantas, pengurangan kadar pemeriksaan fizikal, serta keutamaan dalam pengendalian urusan kastam. Dalam ucapannya, YBhg. Datuk Wira menyatakan bahawa pengiktirafan AEO ini bukan sahaja memberi manfaat kepada syarikat, malah turut menyumbang kepada peningkatan daya saing perdagangan negara di peringkat antarabangsa, khususnya melalui pelaksanaan Mutual Recognition Arrangement (MRA) AEO. “Program AEO turut memperkukuh kedudukan Malaysia dalam perdagangan antarabangsa. Melalui pelaksanaan Mutual Recognition Arrangement (MRA) AEO dengan pihak kastam negara rakan dagang, syarikat AEO Malaysia dapat menikmati kemudahan perdagangan rentas sempadan, sekali gus meningkatkan daya saing di peringkat serantau dan global,” katanya. Sebanyak tujuh belas (17) buah syarikat telah menerima emblem dan sijil AEO pada majlis kali ini, yang merangkumi sektor pengeksport, pengimport, pengilang, pengendali gudang dan ejen Kastam. JKDM akan terus komited dalam memperluaskan pelaksanaan Program AEO serta menggalakkan lebih banyak syarikat menyertai program ini bagi menyokong ekosistem perdagangan yang selamat, cekap dan berdaya saing.        CEPAT · TANGKAS · INTEGRITI
  • Information
    14 Jan 2026
    LAWATAN KERJA TIMBALAN KETUA PENGARAH KASTAM (PENGUATKUASAAN DAN PEMATUHAN) KE JABATAN KAS...
    Information
    2574 hit(s)
    MELAKA, 13-14 Januari 2026 – YBrs. Puan Siti binti Mang, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) telah melaksanakan lawatan kerja rasmi ke Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka pada 13 hingga 14 Januari 2026. Lawatan selama dua hari ini dimulakan dengan sesi libat urus bersama pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan serta Bahagian Pematuhan. Sesi libat urus bermula dengan pemeriksaan barisan di Dewan Datuk Md Hassim Pardi diikuti ucapan YBrs. Tuan Roslan bin Yusoff, Pengarah Kastam Negeri Melaka serta pembentangan pencapaian Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan JKDM Melaka oleh Tuan Bakri bin Abd Rahman, Timbalan Pengarah Kastam Negeri (Penguatkuasaan dan Pematuhan). Sesi libat urus ini memberi ruang kepada pegawai dan anggota untuk mengemukakan pandangan serta pertanyaan, selain membolehkan pihak pengurusan tertinggi memberikan penjelasan berhubung isu-isu berkaitan pelaksanaan tugasan di lapangan. Pada sebelah petang, lawatan diteruskan ke Stor Penguatkuasaan Ayer Keroh dan Stor Penguatkuasaan Bukit Baru bagi menilai aspek keselamatan dan pengurusan barang rampasan. Hari berikutnya, Puan Siti meneruskan lawatan ke Bahagian Pematuhan di samping meninjau Stor Penguatkuasaan Banda Hilir  untuk memastikan tahap pematuhan prosedur operasi standard berada pada tahap optimum. Lawatan diakhiri dengan kunjungan ke Unit Marin di ICQS Banda Hilir bagi menilai kesiapsiagaan operasi marin serta keberkesanan kawalan sempadan. Secara keseluruhannya, lawatan ini menekankan pemantauan operasi, pengukuhan komunikasi dua hala serta komitmen jabatan dalam meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan pematuhan undang-undang.        CEPAT · TANGKAS · INTEGRITI
  • Information
    08 Jan 2026
    LAWATAN TAPAK PENGARAH KASTAM NEGERI KE PERLIS INLAND PORT (PIP)
    Information
    2541 hit(s)
    PADANG BESAR, 8 Januari 2026 – YBrs. Tuan Haji Ismail bin Hashim Pengarah Kastam Negeri Perlis telah mengadakan lawatan tapak ke Perlis Inland Port (PIP) bagi memantau persediaan akhir menjelang pembukaan rasmi fasiliti tersebut. Lawatan ini turut disertai oleh Ketua Kastam Daerah Padang Besar, Ketua Bahagian Perkastaman/CDN, pegawai-pegawai kanan dan pegawai dari Unit Korporat JKDM Perlis. Sepanjang lawatan, rombongan telah meninjau beberapa lokasi utama di PIP merangkumi Pejabat Pentadbiran, Menara Kawalan, Container Yard dan Bay Kawalan Kastam, yang merupakan komponen penting dalam memastikan kelancaran operasi serta pematuhan keperluan kastam. Lawatan ini mencerminkan komitmen Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis dalam memastikan tahap kesiapsiagaan infrastruktur, sistem operasi dan kawalan berada pada tahap terbaik selaras dengan peranan kastam dalam memberi perkhidmatan kastam unggul serta memperkasa pungutan hasil dan keterjaminan rangkaian perdagangan. Dalam sesi lawatan tersebut, wakil syarikat Mutiara Perlis Sdn. Bhd telah memberikan taklimat berkaitan perkembangan dan status semasa pembangunan PIP.        CEPAT.TANGKAS.INTEGRITI
  • Information
    07 Jan 2026
    PENGARAH KASTAM NEGERI, JKDM NEGERI SEMBILAN TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARIPADA TIMBALAN KET...
    Information
    2577 hit(s)
    SENAWANG, 07 JANUARI 2026 – YBrs. Tuan Muhammad Ilyas Queek bin Abdullah, Pengarah Kastam Negeri berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada delegasi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan yang diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Negeri, YDH. SAC Tuan Muhammad Idzam bin Jaafar. Selain itu, delegasi daripada IPK Negeri Sembilan turut disertai oleh ACP Tuan Md. Khairuddin bin Hussin, Ketua Cawangan Khas, ACP Tuan Muhammad Izzudin bin Runggai, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Supt. Tuan Sahedi bin Din, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan DSP Tuan Khairil Nizam bin Mohd Yusof, Ketua Jabatan Logistik Dan Teknologi. Kunjungan hormat yang turut disertai oleh Ketua Kastam Daerah dan Ketua-Ketua Bahagian JKDM Negeri Sembilan tersebut menjadi wadah kepada kedua-dua pasukan untuk bertukar buah fikiran serta menyampaikan pandangan melibatkan pelbagai perkara khususnya dalam urusan keselamatan di Negeri Sembilan. Kunjungan hormat tersebut diakhiri dengan upacara bertukar-tukar cenderahati antara kedua-dua agensi. YBrs. Tuan Muhammad Ilyas Queek bin Abdullah menzahirkan penghargaanya kepada YDH. SAC Tuan Muhammad Idzam Bin Jaafar dan delegasi daripada PDRM Negeri Sembilan atas kesudian hadir ke Wisma Kastam Senawang bagi mengadakan kunjungan hormat tersebut. Semoga jalinan kerjasama yang disemai di antara JKDM dan PDRM di peringkat Negeri Sembilan dapat diperkukuh dan dipererat demi kebaikan rakyat di bumi beradat ini.      CEPAT.TANGKAS.INTEGRITI
  • Information
    23 Dec 2025
    JKDM SELANGOR GAGALKAN PENYELUDUPAN RM26.23 JUTA HASIL OPERASI FORTEX TRIDENT
    Information
    2470 hit(s)
    Oleh: PPK Davis anak Michael, PPA JKDM Selangor ​ PELABUHAN KLANG, 15 Disember 2025 – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor telah mengadakan satu sidang media bagi mengumumkan kejayaan pasukan penguatkuasaan JKDM Selangor dalam menggagalkan cubaan penyeludupan pelbagai komoditi hasil Operasi Fortex Trident yang dijalankan di sekitar Lembah Klang. Melalui operasi bersepadu ini, JKDM Selangor berjaya merampas pelbagai barangan dengan anggaran nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai berjumlah RM26.23 juta. Antara hasil utama Operasi Fortex Trident yang didedahkan dalam sidang media tersebut ialah termasuk rampasan 28.81 juta batang rokok putih yang diikrar secara tidak benar, lima (5) buah kenderaan mewah dan elektrik, gelung keluli yang tertakluk kepada duti anti-lambakan, serta minuman keras sebanyak hampir 5000 liter. JKDM Selangor akan terus memperkukuh risikan dan operasi penguatkuasaan demi melindungi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat. CEKAP ∙ TANGKAS ∙ INTEGRITI
  • Information
    10 Dec 2025
    LAWATAN NAZIRAN PELAN TINDAKAN STRATEGIK JKDM 2025- 2027, JABATAN KASTAM DIRAJA MALAYSIA P...
    Information
    2529 hit(s)
    ​Oleh: PPK Azwar bin Muhammad Noor, PPA JKDM Pulau Pinang SEBERANG JAYA, 05 DISEMBER 2025 – YBhg. Dato’ Haji Rohaizad bin Ali, Pengarah Kastam Negeri Pulau Pinang, bersama barisan Timbalan Pengarah Kastam Negeri menyambut baik kehadiran pasukan naziran Pelan Tindakan Strategik JKDM 2025- 2027 yang diketuai oleh YBrs.Tuan Durairajoo A/L Muniandy, Pengarah Bahagian Perancangan Korporat, Ibu Pejabat dan anggotanya. Naziran yang berlangsung dari 3 hingga 5 Disember 2025 ini bukan sekadar sesi pemantauan rutin, malah menjadi medan signifikan yang merangkumkan komitmen padu antara pihak Ibu Pejabat dan pengurusan negeri dalam memperkukuh iltizam strategik Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Lawatan  ini tampil sebagai pentas pertemuan strategik yang sarat dengan nilai tambah—mengalirkan pertukaran pandangan bernas, wacana mendalam, perbincangan konstruktif serta pembentangan inisiatif berimpak tinggi yang bakal membentuk hala tuju kecemerlangan JKDM pada masa hadapan. Setiap sesi bukan hanya melahirkan idea, tetapi membangkitkan semangat kebersamaan yang menyalakan obor inovasi dan daya saing organisasi. Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja mencapai objektifnya, bahkan melampaui jangkaan dengan kejayaan yang cukup gemilang. JKDM Pulau Pinang telah mencapai 97.5% pencapaian pelaksanaan program. Selain berperanan mengukuhkan lagi ikatan ukhuwah antara kepimpinan pusat dan negeri, malah memantapkan imej JKDM sebagai sebuah institusi unggul yang beroperasi dengan kecekapan maksimum, ketangkasan operasional yang tinggi serta integriti yang tidak pernah tergugat. Kualiti penyampaian perkhidmatan, ketelitian dalam setiap pelaksanaan tugas serta dedikasi tidak berbelah bahagi para pegawai menjadi manifestasi kukuh terhadap komitmen JKDM untuk terus berada di barisan hadapan dalam melindungi kestabilan ekonomi negara serta menjunjung amanah rakyat. ​CEKAP ∙ TANGKAS ∙ INTEGRITI​​

Arkib Liputan & Media>>